SUDAH tiba masanya Mawi dan pengurusannya, Maestro Talent & Management (Maestro) memikirkan penyelesaian terbaik supaya tidak timbul lagi perselisihan faham dengan pihak media.
Pernah dulu, Mawi dan pengurusannya bersemuka dengan wartawan untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku. Selepas itu, nampak perubahan dan Mawi sendiri sudah mula selesa menyesuaikan dengan suasana baru.
Hubungannya dengan wartawan juga semakin baik dan selepas beberapa ketika, Mawi semakin matang dalam mengendalikan temu bual. Bagaimanapun, panas yang diharapkan berpanjangan, mendung pula datang meliputi.
Gara-gara sikap tidak acuh dengan wartawan selepas menjayakan satu persembahan Isnin lalu, hubungan Mawi dengan pihak media kembali tegang. Mawi tidak belajar daripada kesilapan lalu.
Sekali lagi, Hip mendapatkan Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez untuk memberi penjelasan mengenai hal ini. Harap ia adalah penjelasan yang terakhir kerana pihak media sendiri sudah bosan dengan sikap tidak serius penyanyi itu.
Hip: Mawi timbulkan masalah lagi, apa sebenarnya yang berlaku?
Freddie: Daripada apa yang saya tahu, Mawi tidak sedar namanya dipanggil untuk sesi interbiu selepas wartawan menemu bual Salima. Bagaimanapun, saya akan berjumpa sendiri dengan Mawi dan mendapatkan penjelasannya mengenai hal itu. Rasanya Mawi tidak berniat untuk menyinggung hati mana-mana pihak, cuma mungkin dia berhati-hati supaya tidak timbul apa-apa masalah lagi. Saya sendiri tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi kerana ia memberi kesan tidak baik kepada perjalanan karier Mawi.
Hip: Mungkin sekali pihak media dapat maafkan, tapi lambat laun kesilapan yang cuba diselindungi itu akan terbongkar juga?
Freddie: Kerana itu saya ingin mengatur pertemuan hati ke hati dengan mereka terbabit. Perkara ini perlu diperjelaskan dan kekeruhan itu dapat dijernihkan. Ini penting untuk kepentingan karier Mawi. Sebagai pihak pengurusan, kami ambil berat apa saja kritikan yang diberikan kepada Mawi.
Hip: Tetapi Mawi masih mengulangi kesilapan lalu? Apa Mawi sudah terlalu selesa dengan sokongan peminat menyebabkan dia bersikap sambil lewa terhadap peranan wartawan?
Freddie: Ia adalah insiden yang tidak disangka akan berlaku. Tetapi bukan bermakna kami tidak mengambil berat atau tidak berusaha memastikan supaya tidak ada lagi pihak lain yang terguris. Kami sudah cuba melakukannya tetapi kadangkala apa yang berlaku adalah di luar kawalan kami. Saya percaya Mawi bukan sengaja memperkecilkan wartawan. Masalah timbul mungkin kerana dia tidak bersuara untuk menjelaskan pendiriannya apabila diminta bergambar dengan Salima. Tetapi, kami akan memberikan Mawi pendedahan berterusan supaya masalah sebegini tidak berulang.
Hip: Apakah Mawi ada menetapkan syarat tidak mahu bergambar dengan artis wanita?
Freddie: Sebenarnya Mawi cuma mahu berhati-hati kerana sebelum ini pernah tersebar gosip mengatakan dia menjalin hubungan dengan Salima. Disebabkan itu dia cuba mengelak. Asal bergambar saja timbul gosip kurang enak. Mawi kurang selesa dan pada satu tahap, dia tidak boleh menerima lagi gosip seperti itu. Kalau boleh memang dia ingin lari daripada semua gosip itu. Apabila sudah reda mungkin Mawi akan bersedia semula untuk memenuhi permintaan wartawan.
Hip: Maestro ada berbincang dengan Mawi mengenai hal ini?
Freddie: Kami menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Mawi. Ini soal kerjaya dan apa juga yang memberi kebaikan kepadanya kami akan sokong. Sedaya mungkin kami tidak mahu menghampakan permintaan mana-mana pihak. Cuma masalahnya sekarang Mawi tidak mahu lagi membuka ruang kepada gosip seperti ini. Mungkin kerana belum ada perbincangan sewajarnya menyebabkan Mawi terpaksa buat keputusan tiba-tiba dengan menolak permintaan wartawan untuk merakamkan gambarnya dengan Salima. Kalau berkecil hati, kami meminta maaf.
Hip: Apa pula pendirian Maestro? Mungkin lebih manis jika arahan itu dikeluarkan sendiri oleh Maestro supaya semua pihak wartawan menghormati permintaan Mawi?
Freddie: Mawi bukan sengaja ingin mencari masalah, cuma dia terlalu takut gosip yang sama ditimbulkan lagi. Dia sebolehnya tidak mahu kena ‘serangan’ gosip lagi. Saya tahu Mawi begitu menjaga soal karier dan ingin fokus kepada banyak perkara lain. Dia tidak mahu gosip menjejas tumpuannya kepada karier. Cuma seperti saya katakan tadi, kami perlu berbincang mengenai hal ini. Maestro perlu keluarkan kenyataan untuk perjelaskan supaya tidak timbul lagi keraguan di kalangan pihak media.
Hip: Mawi juga kerap memberikan alasan penat apabila enggan ditemubual. Apakah dia masih belum dapat menyesuaikan diri walaupun sudah lebih setahun bergelar artis?
Freddie: Mawi bukan penat cuma terlalu banyak perkara yang bermain di fikirannya. Perkara ini memberikan tekanan kerana selain persembahan, Mawi juga terpaksa membuat persediaan untuk ke studio rakaman. Banyak perkara yang perlu dia ingatkan. Bagaimanapun, kami tetap memberi ruang untuk dia berehat dan mempunyai masa untuk dirinya. Cuma dalam bulan puasa ini dia agak kelam kabut. Apabila ada masa cuti, dia akan pulang ke kampung untuk memantau perkembangan pembinaan rumahnya. Namun, kami berbangga kerana komitmen Mawi tetap tinggi. Harap semua pihak faham kerana ada masanya dia tidak cukup rehat.
Hip: Sampai bila mahu memberi alasan sebegini? Orang tidak mahu tahu sama ada artis itu penat atau tidak.
Freddie: Kita kena faham Mawi pun manusia biasa. Dia pun tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Tetapi kita akan cari jalan penyelesaian dan cuba menjernihkan keadaan supaya semua pihak termasuk Mawi sendiri faham dengan situasi sebenar. Satu demi satu dugaan yang berlaku sebenarnya membuat Mawi paranoid. Cuma masalahnya dia tidak tahu bagaimana hendak menolak permintaan dengan baik kerana bimbang ada yang tidak faham dan akan menyalahkan dirinya semula. Banyak sangat versi yang saya dengar hingga saya sendiri tidak tahu mana satu yang betul.
Hip: Mawi juga semakin lantang bersuara hingga ada beberapa pelakon berkecil hati apabila dia meletakkan syarat untuk berlakon?
Freddie: Saya harap pelakon lain tidak berkecil hati. Apa yang disuarakan itu hanya pandangan peribadinya apabila bersetuju untuk berlakon. Dia tidak salahkan pelakon lain, jauh sekali memandang rendah kepada mereka. Itu cuma syarat dia kalau bersetuju untuk berlakon. Mawi tetap menghormati pihak lain dan tidak berniat untuk menjatuhkan mereka. Harap pihak lain menghormati pendiriannya.
Hip: Jadi ke Mawi berlakon?
Freddie: Sehingga ini memang sudah ada dua tiga perbincangan dibuat tetapi belum berhasil. Kami sendiri masih menyemak mengenai cadangan itu dan akan membuat keputusan dalam sebulan dua lagi. Kalau pun Mawi berlakon, ia hanya akan menjadi kenyataan selepas April atau Mei ini. Bagaimanapun, kami akan terus berbincang mengenai tawaran itu.